KOTA BHARU:Individu yang berkumpul tanpa tujuan munasabah, termasuk kumpulan bermotosikal di sini, kini menjadi antara sasaran tindakan tegas pihak berkuasa.

Ia susulan keputusan kerajaan negeri yang tidak lagi berlembut terhadap golongan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di kawasan zon merah.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersetuju supaya polis bertindak lebih tegas.

"Polis akan menjalankan operasi dan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang melanggar SOP termasuk berkumpul tanpa sebab serta tidak memakai pelitup muka.

"Kali ini tiada amaran akan diberikan. Mereka akan terus dikompaun serta-merta.

"Selain itu, kedai makan dan premis perniagaan dalam zon merah di Kota Bharu dihadkan operasi perniagaan sehingga jam 10 malam," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, hanya Kota Bharu diisytiharkan sebagai zon merah, manakala Tanah Merah dan Machang zon jingga.

Kota Bharu mencatatkan 53 kes aktif, Tanah Merah (35) manakala Machang (32) semalam.

Kelantan masih dikenakan PKPB sehingga 6 Disember depan.