Geng Lombok samun barang penjagaan diri tumpas
Raffi Bachik
Januari 21, 2018 18:20 MYT
Januari 21, 2018 18:20 MYT
Demi barang penjagaan diri, sekumpulan penjenayah sanggup melakukan jenayah samun bersenjata dengan menyasarkan kedai-kedai runcit dan beberapa rumah penduduk di sekitar Muar, Johor.
Namun, kumpulan yang dikenali sebagai Geng Lombok itu, tidak bertahan lama apabila kegiatan mereka ditumpaskan pasukan polis dalam beberapa serbuan di sekitar Muar sejak Rabu hingga semalam.
Akibatnya, tujuh ahli kumpulan termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 33 tahun ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata kesemua suspek yang berasal dari Lombok, Indonesia itu menggunakan parang dan pisau dengan tujuan untuk menakut-nakutkan mangsa.
Menurutnya, suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memecah masuk premis kira-kira 3 hingga 4 pagi, mengikat mangsa dengan selimut dan menakut-nakutkan mangsa dengan menggunakan senjata seperti parang, tetapi tidak mencederakan mereka.
Beliau berkata, antara barangan rampasan termasuk 27 botol syampu, 15 botol pewangi ketiak, telefon bimbit, dan beberapa bilah parang.
Polis turut menemukan tiga botol pencuci muka, pewangi badan, ubat gigi, topeng dan lain-lain peralatan ketika menyerbu rumah suspek.
Katanya, kesemua suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai Rizki @ Maksom berusia lingkungan 20-an yang masih bebas dan juga berasal dari negara sama.