Geng Harrier, dalang rompak kereta mewah tumpas
Astro Awani
November 18, 2017 14:36 MYT
November 18, 2017 14:36 MYT
Polis percaya mereka berjaya menumpaskan kegiatan samun yang didalangi ‘Geng Harrier’ yang aktif melakukan jenayah itu di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata kejayaan itu adalah hasil laporan dibuat beberapa mangsa dan siasatan susulan yang dilakukan pasukan polis.
Menurut Mohd Zani, dua suspek ditangkap di sebuah kondominium di Damansara Perdana pada 12 November lepas.
Hasil soal siasat membawa kepada penangkapan lima lagi lelaki dalam serbuan di Subang Jaya dan Perak yang semuanya berusia lingkungan 30an.
Suspek mengaku terlibat dalam 10 jenayah samun di Petaling Jaya, dua di Subang Jaya, empat di Negeri Sembilan dan lapan kes di Johor.
“Kita percaya dengan tangkapan dan rampasan yang kita jalankan kita dapat menyelesaikan 10 kes samun yang berlaku di Petaling Jaya yang dilakukan oleh kumpulan ini,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis juga merampas sembilan buah kenderaan yang dicuri seperti Toyota Harrier, Subaru Forester, Honda CRV dan Toyota Hilux.
Kesemua suspek kini direman sehingga 22 November ini untuk siasatan.
#geng harrier
#jenayah
#kereta
#mangsa
#Mohd Zani Che Din
#Petaling Jaya
#rompak
#samun
#siasatan
#suspek