Geng 'Fikriyadi' ditahan polis
Afiezy Azaman
Januari 21, 2020 11:38 MYT
Januari 21, 2020 11:38 MYT
Dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai aktif melakukan kegiatan samun kenderaan di kawasan Damansara sejak September 2019 diberkas polis pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, kedua suspek berusia 30 dan 37 tahun itu dikenali dengan nama yang sama iaitu Fikriyadi.
"Polis menahan kedua suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 di hadapan sebuah tanah perkuburan di Damansara Jaya selepas mereka cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
"Hasil soal siasat awal, kedua suspek mengaku terlibat dengan satu kejadian samun kenderaan di parkir sebuah kompleks membeli-belah, Petaling Jaya, Selangor pada 27 September lalu," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata kedua suspek juga mengaku bergiat aktif melakukan pecah cermin kenderaan di kawasan Damansara sejak September tahun lalu.
"Hasil maklumat daripada suspek, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di
Jalan Besar Sungai Way Petaling Jaya dan menemui beberapa barangan antaranya rangkai anak kunci rumah, beg dompet dan beg kotak kaca mata jenama Rayban.
"Polis akan membuat permohonan reman di mahkamah terhadap kedua suspek bagi meneruskan siasatan," jelasnya.
#Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din
#Damansara
#Fikriyadi
#Ketua Polis Daerah Petaling Jaya
#kompleks membeli-belah
#motosikal
#pecah cermin
#pemeriksaan
#Petaling Jaya
#samun kenderaan
#warga Indonesia