'Geng Bingai Turbo' curi kenderaan tumpas
Astro Awani
September 5, 2019 18:11 MYT
September 5, 2019 18:11 MYT
Aktiviti geng Bingai Turbo yang cekap mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang akhirnya tumpas susulan penahanan dua mekanik warga tempatan pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata kegiatan suspek, yang berusia 27 dan 33 tahun, dikesan selepas mereka terlibat dalam 12 kes kecurian kenderaan sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, salah seorangnya memiliki 41 rekod jenayah dan pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama.
“Kumpulan ini aktif. Kalau ikut rekod jenayah, salah seorang suspek itu ada 41 rekod jenayah, dengan 24 daripadanya adalah kes curi kenderaan.
“Diikutkan dia aktif balik bermula Januari 2019. (Suspek) pernah kena tangkap. Kedua-dua suspek bekerja sebagai mekanik maka mereka mempunyai kemahiran untuk buka dan curi kenderaan,” ujar Shafa’aton.
Tangkapan suspek telah dilakukan di Jalan Taman Sri Gombak Selangor.
Hasil soal siasat membawa kepada lima lokasi yang disyaki diletakkan kenderaan curi di sekitar Sungai Buloh, Ampang, Shah Alam dan Bukit Jalil.
Suspek didapati meletakkan kenderaan terbabit di kawasan lot parkir dalam kondominium.
Kedua-dua suspek bertindak sebagai striker curi kenderaan sebelum menyerahkan kepada seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas.
Polis kini memburu seorang lagi suspek yang masih bebas disyaki menjadi orang yang membuat geran bagi kenderaan curi berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.
#curi kenderaan
#curi kereta
#Lembah Klang
#mekanik pencuri kereta
#PDRM
#polis
#sindiket curi kenderaan
#suspek
#warga tempatan