Geng berparang samun syarikat penghantaran, larikan wang tunai RM46,000
Sinar Harian
Mac 15, 2025 13:04 MYT
Mac 15, 2025 13:04 MYT
Tangkap layar video tular yang memaparkan suspek mengacu parang kepada petugas di hab syarikat penghantaran berkenaan di Meru, Klang pada Jumaat. -Sinar Harian/Video tular
KLANG: Sekumpulan penjenayah bertopeng yang bersenjatakan parang melarikan wang tunai RM46,000 selepas menyamun sebuah hab pengumpulan dan pengoperasian syarikat penghantaran di Meru di sini pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Sekumpulan penjenayah bertopeng bersenjatakan parang menyamun hab syarikat penghantaran di Meru, Klang, melarikan wang tunai RM46,000.
- Kejadian berlaku semasa proses pengiraan wang tunai, dan tiada kecederaan dilaporkan.
- Polis sedang giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, laporan kejadian itu dibuat seorang wanita berusia 21 tahun yang juga kerani syarikat terbabit pada jam 1.19 petang.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.26 tengah hari semasa proses pengiraan wang tunai di hab tersebut.
"Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Bezza warna biru disyaki menggunakan nombor plat palsu tiba di lokasi.
"Tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan parang kemudian melarikan wang tunai RM46,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Katanya lagi, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Fazlan Rezza di talian 011-10561017.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi satu rakaman video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 46 saat memaparkan tiga suspek mengacukan parang kepada petugas di hab terbabit. -Sinar Harian