Geng Ateng samun kereta mewah tumpas
Sinar Harian
Mac 16, 2018 18:40 MYT
Mac 16, 2018 18:40 MYT
Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah yang aktif sejak 2016 dengan penahanan sembilan suspek terlibat menerusi beberapa siri tangkapan pada 6 Mac lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata, sindiket dikenali Geng Ateng ini diketuai oleh salah seorang suspek yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau melibatkan kegiatan sama, samun dan pengedaran dadah.
Menurutnya, penahanan kesemua suspek berusia 18 hingga 33 tahun itu susulan laporan polis yang diterima pada 13 Februari lalu melibatkan kehilangan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire di Taman Leng Seng, Cheras.
Menurutnya, Bahagian Task Force D4 JSJ Polis Kuala Lumpur membuat siasatan dan membawa kepada penahanan kesemua suspek termasuk dua pemilik kedai aksesori kenderaan dan seorang penarik kereta serta broker.
“Sejumlah 10 buah kereta mewah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM3 juta dirampas, termasuk 23 kunci kereta klon yang digunakan untuk kegiatan curi kereta dan sebuah motosikal.
“Turut dijumpai di rumah dan kereta suspek 15 paket disyaki syabu 24 biji pil erimin 5 dan tiub straw disyaki heroin 3.23 gram.
“Dengan penahanan mereka ini, polis telah menyelesaikan 11 kes curi kereta mewah yang dilaporkan sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Tambah Mazlan, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 20 Mac.
“Polis Kuala Lumpur masih meneruskan siasatan mendapatkan rangkaian pembeli kenderaan mewah yang pernah dijual oleh geng berkenaan.
Kereta mewah yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia serta Forensik PDRM untuk tindakan ‘etching’,” katanya.
Geng Ateng dipercayai bukan sahaja aktif dengan kegiatan curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang, tetapi juga di Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.