Generasi Z pilih kerjaya berbeza
Isabelle Leong
Oktober 26, 2017 07:00 MYT
Oktober 26, 2017 07:00 MYT
Sebanyak 68 peratus daripada golongan generasi (Gen) Z di Malaysia memilih untuk menceburi sektor pekerjaan bebas apabila membuat pilihan kerjaya, menurut kaji selidik yang dilaksanakan oleh INTI International University & Colleges.
Mengulas berkenaan kaji selidik tersebut, Naib Presiden Kanan pemasaran INTI, Timothy Johnson, berkata bahawa ekonomi pekerjaan bebas kini sedang mengubah cara Gen Z berfikir tentang kerjaya dan telah meluaskan peluang pekerjaan melangkaui pekerjaan tradisional.
"Kaji selidik menunjukkan 68 peratus dalam kalangan Gen Z ingin memulakan kerjaya sendiri.
"Perkara ini tiada kaitan dengan hakikat bahawa mereka tidak dapat mencari pekerjaan.
"Lebih daripada 200,000 siswazah yang menganggur tetapi mereka berkata bahawa mereka ingin memulakan pekerjaan sendiri.
"Ia bukan kerana tiada pekerjaan buat mereka. Ia adalah kerana mereka telah membuat keputusan sedemikian," kata beliau.
Gen Z merujuk kepada individu yang lahir pada 1995 dan tahun-tahun seterusnya.
Tinjauan ini telah dilaksanakan ke atas 300 pekerja bebas sepenuh masa yang mewakili bidang pekerjaan profesional termasuk perniagaan, pemasaran, teknologi maklumat (IT) dan sains komputer, seni kulinari dan seni reka.