Generasi tua macam saya susah terima idea baru - Tun Mahathir
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 19, 2018 04:57 MYT
Ogos 19, 2018 04:57 MYT
Rakyat Malaysia terutama golongan muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara perlu mengejar ilmu dengan sepantas mungkin.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkembangan ilmu yang semakin pantas dominan dengan golongan muda.
Malah, beliau mengakui, sebagai seorang individu yang berusia 93 tahun, beliau sukar untuk menerima idea baharu termasuk daripada segi perkembangan teknologi.
"Dunia ini akan dimiliki oleh orang muda. Orang tua akan pergi dan tinggal orang muda. Jadi, kalau orang muda jadi pemilik negara ini, ataupun dunia ini, mereka mestilah kejar ilmu secepat mungkin.
"Ilmu sekarang ini amat penting. Ilmu sekarang ini hanya boleh difaham oleh generasi muda. Generasi tua macam saya ini sudah 'beku', tak boleh nak terima idea baru, tak boleh nak terima kepesatan teknologi yang baharu," ujarnya pada sesi dialog bersama rakyat Malaysia di sini malam tadi.
Mengambil contoh berkenaan teknologi rakaman audio suara, beliau tidak pernah menyangka perakam audio digital mampu menggantikan pita perakam audio.
"Saya mulanya pakai pita rakaman yang besar. Kita tahu ada pita di situ, kita bercakap, apa yang kita kata masuk dalam pita. Apabila kita putar semula, kita dengar apa yang kita kata.
"Tetapi, apabila saya diberi perakam audio yang hanya sebesar jari saya, saya tak percaya boleh rakam suara saya. Apabila kita dapati perakam yang tidak menggunakan pita, kualitinya lebih baik daripada yang berpita.
"Jadi bagi orang tua, susah nak terima (sesuaikan diri), tetapi bagi orang muda senang nak terima dan mereka patut belajar macam mana ia boleh dirakam.
"Sekarang ini tak perlu ada alat perakam, telefon sudah memadai," kongsi Dr Mahathir kepada lebih 500 rakyat Malaysia yang hadir.
#golongan muda
#idea
#ilmu
#Mahathir Mohamad
#mengejar ilmu
#pemimpin
#perakam audio digital
#Perdana Menteri
#perkembangan ilmu
#pita rakaman
#teknologi