'Generasi muda perlu dijadikan fokus utama UMNO'

Astro Awani
Oktober 20, 2013 08:01 MYT
Generasi muda dilihat sebagai penggerak utama dalam memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.
Pengarah Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad semasa ditemu bual dalam rancangan bual bicara Analisis AWANI Khas hari ini berkata, generasi muda perlu dijadikan fokus utama Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk PRU-14.
Dengan peratusan pengundi muda yang semakin meningkat, UMNO digesa untuk memberi perhatian kepada mereka dimana generasi muda dilihat sebagai titik penentu kemenangan BN.
Firdaus berpendapat, jika calon-calon muda daripada Pemuda UMNO pada asalnya yang kini bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO berjaya dipilih, maka aspirasi serta mesej generasi akan sampai di peringkat tertinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Belia, Rahman Hussin yang turut serta dalam temubual khas ini berkata, wujud jurang di antara suara muda dan veteran dalam parti UMNO.
Ujar beliau, penting untuk kepimpinan UMNO mencari titik pertembungan dalam mengharmonikan jurang ini bagi mensiapsiagakan UMNO dan BN secara keseluruhannya dalam menghadapi PRU-14.
#generasi muda #majlis tertinggi #pemilihan #Rahman Hussin #UMNO #Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad
;