Generasi muda jangan jadi penyebar berita songsang - Najib

Wan Syamsul Amly
Ogos 18, 2015 15:31 MYT
NAJIB: Generasi muda jangan jadi penyebar berita songsang. -Gambar fail
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap generasi muda tidak sewenang-wenangnya menjadi pembawa berita bahawa negara sedang menuju jalan songsang daripada perspektif ekonomi mahupun politik.
Beliau kesal kerana generasi muda seakan-akan lebih percaya kepada propaganda yang mungkin disuntik oleh musuh Islam.
"Mudah untuk kita memberi label, tetapi apakah mudah untuk kita meletakkan negara dalam kalangan yang diakui hebat dan berpandangan jauh.‎
"Berhati-hatilah dengan label dan stigma. Hari ini kita digelar oleh sebahagian media berkepentingan sebagai 'failed state'.
"Ada yang mengatakan Malaysia sebagai 'rogue nation'. Nama Malaysia seakan mahu diburukkan secara sewenang-wenangnya," katanya semasa berucap semasa merasmikan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2015 di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.
Seminar dua hari yang akan berakhir pada Rabu itu membincangkan isu-isu semasa dan realiti yang dihadapi generasi muda dan mengetengahkan usaha pembinaan idealisme serta jati diri generasi muda melalui pendekatan politik, budaya dan pendidikan.
Seminar itu turut melestarikan usaha pembentukan generasi unggul negara dengan memberi fokus kepada sistem pendidikan, sosio budaya dan ekonomi.
Dalam pada itu, Najib mahu generasi muda bersikap adil dalam membuat nilaian dan sanggahan selain menafikan menutup ruang kritikan dan sanggahan.
"Di hadapan anak-anak muda ini, saya berani mengatakan bahawa kita bukanlah kerajaan yang sempurna.
"Malah, saya juga sedar, jika saya tidak memperjuangkan norma-norma baru yang dikehendaki generasi muda; saya juga boleh gagal memimpin.
"Suara generasi muda akan saya dengar dan hormati. Soalnya, jangan cagarkan keamanan negara demi kepentingan politik yang singkat.
"Kita boleh berbeza pandangan, namun mestilah dilakukan dalam keadaan saling hormat menghormati dan tidak mencemarkan nama baik negara dan agama," katanya.
Najib turut menjelaskan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia mendengar pandangan yang berbeza daripada pelbagai pihak sejak menjadi perdana menteri.
"Semenjak saya memegang tampuk pemerintahan negara, saya berusaha untuk melakukan transformasi politik bagi memperkasakan umat.
"Walaupun begitu, perkembangan akhir-akhir ini menyaksikan atas nama kebebasan muncul kumpulan ekstrimisme dan liberalisme yang cuba untuk mendominasi kelompok majoriti dalam negara.
"Kumpulan ini berselindung di sebalik jenama hak asasi manusia dalam menghalalkan tindakan mereka yang jauh sekali menyimpang dari tuntutan Islam," ujarnya.
Oleh itu katanya, pendekatan wasatiyyah merupakan platform terbaik dalam membendung fahaman itu selain mahu usaha memperkasakan generasi muda dengan pendekatan berkenaan dengan serius.
#ekonomi #failed state #najib #politik #rogue nation #Wasatiyyah
;