Generasi muda diseru sertai Komando 69

Bernama
Oktober 19, 2019 05:05 MYT
Anggota 69 Komando Koh Kia Yeow (tengah) ketika memperkenalkan senjata Sniper Rifle Barrett 50 Calibre kepada anak saudaranya Koh Qi Huey (kanan) pada Program Sambutan Ulang Tahun Ke-50 69 Komando di Shah Alam, 19 Okt, 2019. --fotoBERNAMA
Golongan muda diseru menyertai pasukan elit polis Komando 69, bagi menunjukkan semangat patriotik dan taat setia kepada negara.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K. Kumaran berkata, ia kerana pasukan itu memerlukan pelapis muda bagi meneruskan kesinambungannya.
"Pasukan ini perlu kesinambungan, yang mana kita perlu menggalakkan penyertaan generasi muda dalam pasukan ini.
"Bila anda bersara dan sebagainya, sudah tentu ia perlukan penggantian dan tidak terputus, maknanya akan ada orang baru," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun Ke-50 pasukan 69 Komando itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, pada Sabtu.
Program itu dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Mengulas lanjut, Kumaran berkata Komando 69 perlu didedahkan kepada umum, supaya mereka mengetahui peranan sebenar pasukan elit itu yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan keamanan negara.
"Sebab itu kita adakan program sambutan ulang tahun pasukan ini yang mana anggota pasukan bersama-sama turun padang mendekati masyarakat.
"Secara tidak langsung ia dapat memupuk kesedaran masyarakat terhadap pengorbanan Komando 69 dalam memelihara keamanan negara," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam JKDNKA #Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti JPJKK #jenayah #K Kumaran #keselamatan #Komando 69 #polis
;