Generasi muda diseru jadi agen perubahan, pupuk semangat perpaduan - Aaron
Bernama
September 15, 2024 23:57 MYT
September 15, 2024 23:57 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Malaysia ke-61, generasi muda diseru menjadi agen perubahan yang memupuk semangat perpaduan demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan sejahtera.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam dunia yang semakin kompleks, perpaduan dan keharmonian adalah kunci kepada kejayaan.
"Kini sudah lebih enam dasawarsa Malaysia ditubuhkan, tibalah masanya generasi muda menghayati dan meneruskan legasi negara tercinta ini. Sambutan Hari Malaysia, masa untuk kita mengukuhkan perpaduan dalam kalangan kita," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia ke-61, esok.
Aaron berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka serta berdaulat, adalah satu titik sejarah yang amat penting dan memberi makna besar, kerana ia merupakan detik yang menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Perkara itu menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang kaya dengan pelbagai khazanah budaya, bahasa dan tradisi, etnik, agama dan latar belakang dengan lebih 80 etnik dan bangsa.
"Dalam kepelbagaian inilah, kita menemukan kekuatan dan keindahan yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia," katanya.
Sehubungan itu beliau mengajak semua rakyat Malaysia bersama-sama menyemarakkan lagi semangat Hari Malaysia ini dengan penuh rasa bangga dan cinta terhadap negara.
"Sambutlah hari ini dengan tekad untuk terus berusaha memajukan Malaysia, menjaga perpaduan dan memelihara identiti negara yang kaya dan berharga ini. Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-61. Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka," katanya.
-- BERNAMA