Generasi muda ada peranan signifikan tangani isu perubahan iklim - Hanifah Hajar
Astro Awani
Ogos 19, 2023 16:48 MYT
Ogos 19, 2023 16:48 MYT
KUALA LUMPUR: Generasi muda mempunyai peranan dan kuasa yang signifikan untuk menangani cabaran yang timbul dari krisis perubahan iklim, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Ahli Parlimen Mukah itu berkata, generasi berkenan boleh memanfaatkan kekuatan mereka seperti keghairahan, semangat advokasi, serta aptitud untuk berinovasi, yang boleh dijadikan anjakan untuk masa depan yang lebih mampan.
Hanifah berkata, komitmen berterusan dari golongan mudalah yang mampu mendorong penyelesaian transformatif untuk membawa negara menghadapi perubahan tersebut.
“Komitmen merekalah (golongan muda) yang mampu menjayakan agenda ini, selagi mana kita memimpin mereka dengan idea, hubungan dan aspirasi. Mari kita mengiktiraf bahawa forum ini bukanlah satu kejadian pasif. Ia adalah seruan yang jelas untuk bertindak,” tegasnya lagi.
Hanifah berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di Youth Sustainability Forum 2023, bertajuk Harnessing the Power of Youth for a Resilient Future, di ibu negara pada Sabtu.
Menyentuh mengenai forum tersebut, Hanifah berkata, ia adalah bukan sekadar ruang fizikal untuk berkumpul dengan arena kolektif idea, keazaman, dan aspirasi bersama, semata-mata.
“Sambil kita bersama-sama dalam perjalanan penting ini bersama-sama, marilah kita mendalami tema yang menyatukan kita secara mendalam tentang inovasi belia dan pertumbuhan ekonomi yang mampan demi memanfaatkan tindakan iklim untuk masa depan yang berdaya tahan.
“Belia perlu menadi pelopor transformasi yang menjiwai semangat perubahan yang mendorong masyarakat kita ke hadapan. Keteguhan, kreativiti dan komitmen anda yang tidak berbelah bahagi adalah asas di mana kemajuan dapat dibina,” katanya lagi.