Generasi kedua Felda Gunung Besout harap isu perumahan diselesaikan

Hasimi Muhamad
Ogos 18, 2020 18:50 MYT
Penduduk tempatan mengharapkan projek perumahan di kawasan itu diperbanyakkan. - Astro AWANI
Peneroka dan generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di gugusan Slim berharap agar urusan perumahan dapat dipermudahkan.
Rata-rata mereka meletakkan harapan tinggi untuk memiliki rumah sendiri.
Generasi kedua Felda Gunung Besout 2, Zaleha Karim, berkata projek perumahan di kawasan itu perlu diperbanyakkan pada masa akan datang.
“Secara kasar, kapasiti anak generasi kedua di sini adalah lebih 2,000 orang, dengan keadaan rumah yang baru 102 buah siap. Memang orang kata tidak berbaloi (tidak cukup) kalau nak dibandingkan dengan rumah yang ada sekarang ini.
“Kalau boleh nak ditambahkan lagi, memang baguslah,” katanya ketika ditemui, pada Selasa.
Sementara itu, generasi kedua Felda Gunung Besout 3, Azman Omar, berkata mereka berdepan kesulitan kerana masalah dokumen seperti slip gaji.
“Minta jasa baik mereka (pihak kerajaan) beri kelonggaran untuk anak peneroka.
“Kalau boleh anak peneroka yang tiada slip gaji di Felda bagilah kelonggaran. Sebab ramai dalam kalangan generasi kedua kerja sendiri,” jelasnya.
Selain isu perumahan, Rosaiza Azuana Othman, berkata penyediaan latihan dan kemahiran juga dapat membantu penduduk setempat membangunkan ekonomi.
“Kalau di sini, diharapkan generasi kedua dapat dibantu. Misalnya kalau nak memulakan perniagaan dan sebagainya ada tunjuk ajar dan (bantuan) kewangan.
“Sebab sebenarnya banyak peluang (pekerjaan), cuma tiada tunjuk ajar dan peluang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Hamizan Nordin, berharap kerajaan negeri dapat memudahkan bantuan kepada ibu tunggal seperti proses baik pulih rumah.
“Nak minta bantuan susah... kalau ibu tunggal nak kena tengok ekonomi (pendapatan) dan bilangan anak.
“Minta bantuan zakat baru-baru ini pun tiada pihak yang datang melawat,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan Perak memaklumkan telah menyelesaikan pemberian hak pemilikan tanah kepada 5,776 daripada 5,917 peneroka Felda di seluruh negeri itu.
#bantuan kerajaan #Felda #felda gunung besout #Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan #Slim #Slim Memilih #Tanjung Malim
;