Gencatan senjata: Malaysia alu-alukan kenyataan AS, Mesir dan Qatar

Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 11, 2024 04:50 MYT
Orang ramai mengadakan demonstrasi pro-Palestin menuntut gencatan senjata di Piazza San Babila, Itali. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos lepas yang menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan untuk membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan, secara prinsip Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
"Dalam konteks ini, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.
"Malaysia berharap perbincangan akan datang yang bakal diadakan pada 15 Ogos 2024 akan membuahkan hasil yang positif dan menghalang konflik yang semakin meruncing dan mencapai penyelesaian secara aman.
"Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan. Malaysia sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," ujarnya.
Jelasnya lagi, sokongan teguh dan solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin tidak berbelah bahagi, termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, dan penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
#gencatan senjata #Israel #Palestin #Wisma Putra