Gencatan senjata Gaza: Semua pihak diseru ambil kesempatan bantu rakyat Palestin - Mujahid

Bernama
Januari 18, 2025 15:01 MYT
Menurut Mujahid, dengan perkembangan gencatan senjata Israel-Hamas, NGO Malaysia hanya menunggu masa untuk masuk melalui laluan bantuan kemanusiaan. - Foto FB Dr Mujahid Yusof Rawa
KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru mengambil kesempatan daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza dengan bersiap sedia membawa misi bantuan kemanusiaan ke Palestin, kata Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata dengan perkembangan gencatan senjata Israel-Hamas, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia hanya menunggu masa untuk masuk melalui laluan bantuan kemanusiaan.
"Gencatan senjata yang disepakati antara Israel dan Hamas menandakan kemenangan awal perjuangan rakyat Palestin ke atas regim Zionis Israel yang ganas lagi kejam.
"Hakikatnya regim Zionis Israel terpaksa mengalah kepada rakyat Palestin yang menunjukkan keberanian luar biasa mempertahankan maruah bangsa dan tanah airnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara berkata ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin di seluruh, dunia termasuk di pentas Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) dan melobi supaya Israel dikeluarkan dari PBB atas jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza, telah membuka mata ramai pihak.
"Anwar juga telah menyuarakan peranan Malaysia untuk membangunkan Palestin dan mendesak bantuan kemanusiaan diberi laluan untuk membantu mangsa peperangan," katanya.
Kabinet Israel telah meluluskan perjanjian dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas untuk melaksanakan gencatan senjata serta pembebasan tahanan di Semenanjung Gaza, yang dijangka membuka laluan kepada penghentian konflik selama 15 bulan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#Gencatan senjata Gaza #bantuan kemanusiaan #Mujahid Yusof #ngo malaysia
;