Gencatan senjata Gaza: Janji Israel meragukan, sukar dipercayai - Tun M

Afiezy Azaman
Januari 18, 2025 09:45 MYT
Dr Mahathir meragui perjanjian gencatan senjata di Gaza kerana Israel, tegas beliau, sering mengingkari undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keraguan beliau terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan, sukar untuk beliau mempercayai apa yang diumumkan itu berdasarkan rekod Israel yang sering mengingkari undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam hantaran terbaharu di akaun media sosialnya pada Sabtu, Dr Mahathir berkata, beliau pesimis terhadap perjanjian tersebut kerana Israel selama ini menunjukkan sikap tidak menghormati pendapat dunia serta gagal mematuhi perjanjian-perjanjian gencatan senjata terdahulu, termasuk dengan Hezbollah.
“Adakah sesiapa percaya bahawa sebuah negara yang melanggar banyak resolusi PBB dan tidak menghormati pendapat dunia akan menepati janji mereka kali ini?” soal Dr Mahathir.
Negarawan itu turut menegaskan, Israel ialah sebuah negara yang suka berkonfrontasi dan sikap sedemikian menjadikannya sukar untuk menghormati mana-mana perjanjian atau undang-undang.
“Sebelum gencatan senjata, mereka meningkatkan serangan dengan membunuh seramai mungkin rakyat Palestin. Ia sudah menjadi tabiat mereka untuk terus melakukan pembunuhan secara berleluasa,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Dr Mahathir menzahirkan kebimbangan kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakyat Gaza terhadap perjanjian ini adalah terlalu awal.
“Maafkan saya jika bersikap pesimis. Tetapi kegembiraan rakyat Gaza adalah pramatang. Saya berharap saya salah,” kata Dr Mahathir.

CEASEFIRE 1.I am doubtful of the Gaza ceasefire deal. 2.Perhaps I am pessimistic, but should anyone believe that a nation that violate countless United Nations resolutions, disregarding and disrespecting world opinion, would honour its undertaking. 3.Would anyone believe that

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) January 18, 2025
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas baru-baru ini dijangka membuka laluan kepada penghentian konflik selama 15 bulan di Gaza, namun skeptisisme terhadap komitmen Israel masih tinggi dalam kalangan pemerhati antarabangsa.
Pada Sabtu, Kabinet Israel meluluskan perjanjian dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas untuk melaksanakan gencatan senjata serta pembebasan tahanan di Semenanjung Gaza.
Perkara ini diumumkan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Sabtu, sehari sebelum perjanjian tersebut dijadualkan bermula pada Ahad.
#gencatan senjata #Israel #Mahathir Mohamad #janji Israel
;