Genap tiga tahun negara 'diserang' COVID-19
Sinar Harian
Januari 26, 2023 17:59 MYT
Januari 26, 2023 17:59 MYT
SHAH ALAM: Genap tiga tahun negara dibelenggu dengan COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merakamkan penghargaan kepada kesemua staf barisan hadapan yang bertungkus-lumus semenjak kes pertama mula direkodkan pada 25 Januari 2020.
Dalam satu perkongsian di Facebooknya pada Khamis, Hisham berkata, sepanjang tempoh itu, negara telah mencatatkan sebanyak 5,035,073 kes keseluruhan dengan 36,932 kes kematian dan seramai 4,988,143 orang telah sembuh.
“Patuhilah kepada saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.
“Sebaliknya, amalkan 3W (wash, wear, warn), TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek - Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan Rawatan) dan dapatkan vaksin COVID-19 dos primer dan penggalak,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar segala urusan dalam usaha membendung penularan COVID-19 akan dipermudahkan.
“Salam takziah juga kepada individu yang telah kehilangan ahli keluarga atau pun kenalan akibat COVID-19 ini.
“Marilah kita terus berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan tidak lagi memudaratkan masyarakat di seluruh dunia,” jelasnya.- Sinar Harian