Genap setahun, Sarjan Norihan imbau serangan penyeludup korbankan 'abang' di sempadan Thailand

Adie Sufian Zulkefli
November 24, 2021 18:48 MYT
Norihan tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di lokasi mendiang Baharuddin menghembuskan nafas terakhir yang ditandakan dengan batu penanda. - Gambar/ Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Hari ini genap setahun insiden berbalas tembakan membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan sekumpulan penyeludup di sepadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, yang mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli.
Tragedi jam jam 3.10 pagi pada 24 November 2020 itu meninggalkan kesan mendalam buat rakannya, Sarjan Norihan Tari, 40, yang turut parah terkena tiga das tembakan dalam kejadian berkenaan.
Norihan yang kini pulih dan sudah kembali bertugas, sebak mengenang kembali kejadian yang berlaku ketika kedua-dua mereka melakukan operasi risikan dengan berpakaian preman dan tidak membawa alat komunikasi berhampiran pos TS9 dekat sini.
Membawa Astro AWANI kembali ke tempat kejadian hari ini, Norihan menjelaskan, bukan mudah untuk berbuat demikian namun dia menggagahkan diri disebabkan itu sememangnya kawasan tugasannya.
"Sepanjang laluan dari bawah tadi dari jalan keselamatan sampai ke sini rasa berat juga kaki nak melangkah ke sini... tapi ini tempat dan kawasan saya jalankan operasi dan rondaaan... saya kena juga gagahkan diri tengok balik tempat ini... memang sangat tragis kenang kembali kejadian itu," katanya.
Dia juga tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di lokasi mendiang Baharuddin menghembuskan nafas terakhir yang ditandakan dengan batu penanda.
"Di sinilah detik terakhir saya menerima arahan daripada mendiang untuk berlari keluar bagi mendapatkan bantuan.
"Sejujurnya saya rasa seperti ingin menangis... di sinilah berlaku kejadian yang saya tak pernah alami sebelum ini, tak pernah jangka terjadi kepada saya... kata orang tu memang tak pernah terfikir untuk saya bertembung dengan penyeludup dekat sini dan bertembak.
"Tak pernah terjangka juga ia mengorbankan ketua saya... yang dari sisi lain saya anggap sebagai abang dan leader yang baik... bagi saya dan kompeni batalion ini, kami terasa sangat kehilangan," katanya.
BACA: Isteri Sarjan Norihan cerita detik terima berita suaminya ditembak
BACA: Sarjan Norihan dibenar keluar hospital, kepulangan disambut sebagai perwira
BACA: PGA hasrat bina stadium mini, tugu peringatan Sarjan Baharuddin
Bagi Norihan, gugurnya mendiang Baharuddin merupakan kehilangan permata dalam dunia kepolisan.
Baginya mendiang seorang yang berdedikasi, komited serta berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Mengimbau kembali kejadian itu, Norihan berkata, dalam keadaan badan berlumuran darah terkena tiga das tembakan, dia berlari meredah laluan hutan sejauh 1.5 kilometer untuk mendapatkan motosikalnya.
Katanya, dia berjaya menunggang motosikal ke Pos TS9 sebelum diberi bantuan kecemasan oleh Lans Koperal Mohd Hamizan yang ketika itu berkawal di pos terbabit.
Bagi wira negara ini pertempuran dengan kumpulan penyeludup itu tidak akan dilupakan sehingga akhir hayatnya.
Sementara itu Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Bidor, Perak, Superintendan Azhar Hashim berkata, pasukannya tidak pernah melupakan keluarga mendiang Baharuddin dan sentiasa menjaga kebajikan serta persekolahan anaknya.
Katanya, beliau juga akan meneruskan kesinambungan mantan pegawai pemerintah terdahulu untuk membina tugu peringatan bagi mengingati mendiang Baharuddin yang dicadangkan di kawasan Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, tugu itu akan menjadi inspirasi kebanggaan dengan semangat yang ditunjukkan oleh mendiang Baharuddin dan Sarjan Norihan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara.
#insiden berbalas tembakan #sempadan thailand #PGA #sarjan norihan
;