Genap seminggu, pasukan SAR tidak putus asa cari mangsa tanah jerlus

Bernama
Ogos 29, 2024 05:30 MYT
Nor Hisham (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur semalam, bercakap mengenai perkembangan kes wanita warga India yang terjatuh lalu tertimbus tanah mendap di Masjid India pada Jumaat lalu. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Genap seminggu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India tidak berputus asa dan meneruskan usaha siang dan malam bagi mencari mangsa.
Semalam seawal 2 pagi lagi, Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melakukan selaman di salur kumbahan di lokasi kejadian susulan operasi sebelum ini mengesan terdapat objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.
Namun, dua penyelam JPBM terpaksa berdepan cabaran arus kuat dalam lurang kumbahan itu menyebabkan mereka tidak sampai ke lokasi objek yang dilaporkan tersekat.
Pada sebelah petang, anggota bomba dilihat bergilir-bergilir memasuki loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam yang difahamkan sedalam bangunan lima tingkat bagi meneruskan pencarian mangsa.
Berdasarkan tinjauan Bernama di lokasi, tidak kurang tiga anggota bomba yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) menggalas tangki oksigen dan alatan pernafasan bergilir-gilir memasuki loji itu dengan setiap kali pusingan pencarian dianggarkan mengambil masa sejam.
Biarpun berdepan cabaran gas beracun seperti gas hidrogen sulfida dan gas metana yang mudah terbakar, pasukan SAR tetap gigih melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
Semalam, pasukan SAR berjaya mengesan satu timbunan atau 'backlog' sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian, hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi berkenaan.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata sekiranya timbunan itu berjaya dirungkai, keseluruhan permukaan dalam paip kumbahan akan dapat dilihat sebelum pasukan penyelam melaksanakan tugas untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan semalam menyatakan operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kelak.
Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akan dibuat berdasarkan faktor-faktor kepentingan dan keselamatan awam khususnya di sekitar Jalan Masjid India.
Dalam pada itu di Kota Bharu, Kelantan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan kawasan Masjid India sebagai zon tidak selamat dan bencana.
Beliau berkata untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, polis perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
-- BERNAMA
#Nor Hisham Mohammad #tanah jerlus #warga india #Jalan Masjid India