Genap sebulan tragedi kepala air Gunung Jerai, penduduk kembali bangkit

Adie Sufian Zulkefli
September 18, 2021 07:44 MYT
Kawasan sebuah chalet yang musnah dilanda kepala air di kaki Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu. -Gambar fail/ Bernama
YAN: Semalam genap sebulan kejadian fenomena kepala air dan banjir lumpur yang mengorbankan enam nyawa serta mengakibatkan lebih 2,000 penduduk terjejas di beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai.
Astro AWANI kembali semula ke kawasan paling teruk terjejas iaitu daerah Yan bagi meninjau perkembangan sesama penduduk pasca bencana.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan ialah Kampung Bakar Bata, Kampung Setul dan Kampung Tepi Laut Pantai Murni.
Bagi salah seorang mangsa, Mad Zaini Putih, 61, banjir lumpur yang berlaku dengan pantas itu meninggalkan lumpur pekat setinggi hampir 20 sentimeter (cm) di keseluruhan rumahnya.
Dia yang bekerja sebagai petani berkata kejadian itu meninggalkan kesan mendalam baginya sekeluarga di mana dia terpaksa mengambil masa hampir dua minggu untuk membersihkan kediaman itu.
"Selain rumah menjadi terlalu kotor, pelbagai peralatan elektrik dan perabit juga mengalami kerosakan antaranya mesin basuh dan kipas angin," katanya.
Bagi Norhayati Mad Nor, 52, kediamannya masih belum selesai dibersihkan sepenuhnya walaupun sudah sebulan kejadian berlaku.
"Kira nak pulih balik tu lambat sikitlah, nak cuci bagi jadi macam dahulu bukan senang.
"Barang rosak semua... kira makan masa sikitlah," katanya yang turut mengalami kerugian ribuan ringgit disebabkan pelbagai kerosakan perabot dan barangan elektrik.
Katanya, selain itu dia juga kini trauma setiap kali melihat hujan di Gunung Jerai kerana bimbang kejadian itu berulang.
Sementara itu, bagi peniaga Safrina Husin, 43, kejadian itu mengakibatkan dia terpaksa menanggung kerugian besar selepas stok barang seperti beras, gula, tepung serta air mineral tidak sempat dialihkan dan ditenggelami lumpur.
"Sekarang dalam berapa hari ini sudah okey sikit. Kejadian itu menyebabkan banyak barangan jualan rosak dan tidak dapat dijual," katanya.
Kejadian kepala air dan banjir lumpur yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang 18 Ogos lalu mengorbankan enam nyawa selepas mereka dilanda arus deras bersama bongkah batu dan kayu.
Kejadian itu juga turut mengakibatkan lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas dan mengalami kerosakan.
#gunung jerai #kepala air #kehidupan penduduk #penduduk trauma
;