Gen Z paling bersedia dengan norma kerja baharu pasca COVID-19

Bernama
April 25, 2020 07:18 MYT
Zulkornain berkata kebergantungan hidup Gen Z terhadap teknologi adalah tinggi dan mereka tidak takut kepada perubahan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. - Foto UPM
Golongan muda terutamanya Generasi Z (Gen Z) dilihat paling bersedia menyesuaikan diri dengan norma kerja baharu pada masa akan datang termasuk pasca COVID-19 untuk bekerja dari rumah melalui penggunaan teknologi digital seperti Internet dan jaringan media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif Putra Business School Universiti Putra Malaysia Prof Dr Zulkornain Yusop berkata ini kerana generasi celik teknologi itu terhubung secara global dalam dunia maya yang menjadikan mereka lebih praktikal dan bijak menggunakan alat elektronik secara meluas.
"Contoh mudah dalam perkhidmatan e-hailing yang rata-rata adalah generasi muda yang mempelopori sektor itu kerana secara asasnya mereka cepat belajar berbanding generasi 'Baby Boomers' yang sudah berusia.
"Jadi, golongan muda khususnya Gen Z lebih bersedia dengan budaya kerja baharu seperti mesyuarat dalam talian, kurang bersua muka, sekali gus menjadikan golongan pekerja yang sangat efektif dalam era digital," katanya ketika dihubungi Bernama.
Baru-baru ini JobStreet.com Malaysia melalui data analisis untuk perniagaan dan pengambilan pekerja dalam menghadapi wabak COVID-19 antaranya merumuskan 72 peratus Gen X memilih untuk bekerja dari rumah, diikuti oleh Gen Y (71 peratus), Gen Z (64 peratus) dan Baby Boomers (66 peratus).
Selain itu, ia juga mendedahkan semua generasi meletakkan gaji dan ganjaran pada 16.1 peratus sebagai keutamaan paling tinggi apabila menyertai sesebuah syarikat, diikuti oleh keseimbangan kerjaya dan kehidupan 12.7 peratus, pembangunan kerjaya 12.5 peratus dan jaminan pekerjaan 11.1 peratus.
Kajian itu dilakukan terhadap 10,000 calon tempatan merangkumi 25 industri bagi membantu organisasi merancang tenaga kerja dengan strategik, terutamanya ketika berdepan dengan ketiadakpastian ekonomi.
JobStreet.com Malaysia mengklasifikasikan pencari kerja daripada Gen Z berumur antara 18 hingga 23 tahun, Gen Y (24-34), Gen X (35-54) dan Baby Boomers (55-65).
Mengulas lanjut, Zulkornain berkata kebergantungan hidup Gen Z terhadap teknologi adalah tinggi dan mereka tidak takut kepada perubahan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Justeru katanya, generasi pada masa depan itu mempunyai jangkaan yang berbeza terhadap keadaan di tempat kerja dan pengetahuan mereka tentang teknikal berada pada tahap yang tinggi.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha pula berkata antara cadangan pihaknya kepada kerajaan dalam penyediaan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 termasuk mempertingkatkan akses pekerjaan yang meliputi ekonomi digital.
Mereka yang terlibat dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), katanya, perlu cepat menyesuaikan dengan ekonomi digital seperti penggunaan e-dagang dan pengiklanan dalam talian bagi memasarkan produk mereka.
"Kita akan melihat pekerja tidak perlu lagi pergi ke pejabat tapi diberi autonomi bekerja dari rumah secara dalam talian dan secara tidak langsung majikan boleh mengekalkan mereka yang berbakat," katanya sambil menambah digital ekonomi adalah suatu kelebihan dalam perniagaan sekiranya berlaku krisis seperti COVID-19.
Seorang pekerja swasta Hawani Hassan, 32, yang pertama kali diarah bekerja dari rumah berkata beliau tidak berdepan masalah untuk berkomunikasi dan mengurus perkara berkaitan pejabat yang boleh dilakukan melalui Internet seperti Slack Technologies, Google Hangouts dan Microsoft Teams.
"Saya juga dibenarkan bekerja mengikut waktu kerja yang lebih bersesuaian dan sekiranya perkara yang melibatkan dokumentasi perlu guna cara baharu seperti tandatangan digital, dokumen elektronik dan e-mel," katanya.
-- BERNAMA
#Bekerja Dari Rumah #Belia #celik teknologi #COVID-19 #ekonomi #Gen Z #Google #Internet #JobStreet com #Jufitri Joha #kebergantungan hidup #kerajaan #kerja #media sosial #normal baharu #pasaran kerja #pasca COVID-19 #pekerjaan #teknologi #Zulkornain Yusop
;