Gempur penempatan pekerja ladang, 51 PATI ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 16, 2023 12:20 MYT
Antara PATI yang ditahan ketika serbuan Op Mega Bersepadu di kawasan perumahan pekerja ladang kelapa sawit. - Astro AWANI
PENDANG: Seramai 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan menerusi Op Mega Bersepadu di kawasan perumahan pekerja ladang kelapa sawit dan getah di Ladang Bukit Perak, Pendang awal pagi tadi.
Dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan semua PATI warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia berusia antara 17 hingga 50-an dalam operasi selama kira-kira tiga jam.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, ketika serbuan terdapat beberapa warga asing yang cuba melarikan diri sehingga seorang daripada mereka cedera pada kaki selepas terjatuh di dalam longkang.
Katanya, turut ditahan seorang wanita yang hamil tujuh bulan bersama pasangannya.
Jelasnya, wanita berusia 36 tahun dan suaminya berusia 37 tahun itu dipercayai masuk dan kerja di ladang terbabit lebih dua tahun lalu.
Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan pekerja warga asing di situ sedang berehat dan tidur di rumah masing-masing.
"Hasil pemeriksaan tersebut seramai 46 orang lelaki dan 5 perempuan iaitu 51 orang daripada 65 orang tangkapan awal.
"Pemeriksaan awal 51 orang telah disyaki melanggar peraturan-peraturan Akta Imigresen. Kita percaya ada setengah itu tinggal lebih masa dan setengah lagi tiada dokumen yang lengkap," katanya.
Jelas Mohd Ridzzuan operasi ke atas 100 buah rumah itu turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara yang pemeriksaan penggunaan Kad Pengenalan palsu.
Katanya, ini berikutan terdapat aduan dalam kalangan PATI yang menyalahgunakan MyKad dipercayai dibeli dari individu yang menjalankan aktiviti penjualan MyKad palsu.
"Jabatan Pendaftaran Negara bersama dalam operasi membuat pemeriksaan beberapa orang di kawasan kuaters pekerja ini yang berkemungkinan dikatakan warga negara Malaysia tetapi menyalahgunakan kad pengenalan ataupun sample palsu," katanya.
Menurutnya, terdapat sekumpulan pekerja warga Bangladesh yang menunjukkan satu kad memaparkan salinan pasport masing-masing yang dipercayai dibekalkan pihak majikan.
Katanya, majikan akan dipanggil bagi mengemukakan pasport asal dan sekiranya gagal mana-mana yang pekerja didapati tidak mempunyai dokumen lengkap akan ditahan.
Kesemua ditahan yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1958/63.
#pati #pekerja ladang #JIM #Kad pengenalan palsu
;