Gempar! Stesen TV swasta terima ancaman bom
Sinar Harian
Ogos 28, 2018 00:02 MYT
Ogos 28, 2018 00:02 MYT
Sebuah syarikat televisyen swasta terpaksa dikosongkan serta-merta selepas dikatakan menerima laporan ancaman bom dalam premis itu, malam tadi.
Menurut sumber, kesemua kakitangan diarah keluar sehingga Unit Pengesan Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tindakan lanjut.
"Situasi itu benar berlaku dan bukannya latihan. Ancaman panggilan itu dikatakan dari seseorang dan semua kakitangan berada di luar bangunan," katanya kejadian sudah dimaklumkan kepada pihak polis.
Seorang kakitangan syarikat itu menerusi rakaman siaran langsung di media sosial berkata ketika kejadian dia dan beberapa rakan sepejabat sedang bermesyuarat sebelum melihat kehadiran polis.
Anggota polis mengarahkan mereka yang berada dalam bangunan itu keluar dengan serta-merta.
"Apabila ditanya, anggota polis beritahu ada panggilan ancaman bom di sini (syarikat televisyen swasta terbabit).
"Kami difahamkan panggilan itu dibuat seorang lelaki yang mengaku dirinya Imam Mahdi," katanya.
Sementara itu Sinar Harian difahamkan, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di lokasi bagi melakukan pemeriksaan.