Gempa Turkiye: Pas gerak misi kemanusiaan bantu mangsa
Sinar Harian
Februari 6, 2023 07:00 MYT
Februari 6, 2023 07:00 MYT
SHAH ALAM: Pas sedang melakukan persiapan untuk menggerakkan misi kemanusiaan ke Turkiye ekoran kejadian gempa bumi yang melanda negara berkenaan pada pagi Isnin.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.
“Pas sedang bersiap sedia untuk menggerakkan misi kemanusiaan berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye yang akan dikoordinasi (oleh) PasRelief.
“Sama-samalah kita menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye. Semoga Turkiye dan warganya dilindungi dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 2,316 orang terbunuh manakala 13,293 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye, manakala kira-kira 1,293 orang dilaporkan terbunuh dan ratusan lagi cedera di Syria, pada pagi Isnin.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.
Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menzahirkan ucapan takziah atas musibah yang melanda negara itu.
“Pas merakamkan takziah buat Turkiye dan warganya di atas kejadian gempa bumi yang melanda selatan Turkiye.
“Dilaporkan kekuatan gegaran gempa bumi yang melanda Turkiye turut dirasai sehingga ke Syria dan Lubnan.
“Kejadian gempa bumi tersebut juga mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa,” ujarnya. -Sinar Harian