Gempa Turkiye: Melaka gerakkan pasukan perubatan

Shuhada Abdul Kadir
Februari 15, 2023 17:50 MYT
Setelah lebih seminggu gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, jumlah kematian kini meningkat kepada lebih 41,000 di kedua-dua negara.- Foto BERNAMA
AYER KEROH: Kerajaan negeri Melaka bakal menggerakkan pasukan perubatan bagi menyertai misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Beliau berkata, pasukan perubatan yang akan melibatkan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) itu dijangka akan mula bertolak ke negara berkenaan pada minggu hadapan.
“(Setakat ini) Melaka negeri pertama yang akan hantar pasukan kesana dan kita sedang nilai berapa banyak kumpulan atau berapa orang yang akan dihantar ke sana sebelum dimuktamadkan esok.
“Insya-Allah pasukan perubatan kami bercadang akan bergerak ke sana pada minggu hadapan dan semoga Allah permudahkan urusan kita semua dalam membantu saudara kita yang ditimpa ujian di Turkiye,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melancarkan satu tabung kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa di negara itu dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, satu tabung kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye akan dilancarkan oleh kerajaan negeri Melaka dalam beberapa hari ini.
“Perkara ini (juga) telah diluluskan di dalam mesyuarat Exco hari ini,” tambahnya.
Setelah lebih seminggu gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, jumlah kematian kini meningkat kepada lebih 41,000 di kedua-dua negara.
Sejumlah 35,418 mangsa terbunuh di Turkiye, manakala lebih 5,800 lagi di Syria, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
#gempa turkiye #Melaka #misi kemanusiaan #pasukan perubatan
;