Gempa Turkiye: Kedutaan Turkiye hargai bantuan pantas kerajaan Malaysia

Bernama
Februari 7, 2023 03:20 MYT
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa dari bawah timbunan runtuhan di Diyarbakir, Turkiye. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Kedutaan Turkiye di Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi yang melanda Turkiye pada Isnin.
Kedutaan itu dalam ciapannya turut menyiarkan beberapa keping gambar dan video mengenai penghantaran anggota SMART ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lewat malam tadi.
Pasukan elit SMART membabitkan seramai 70 anggota itu terdiri daripada pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD), Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat).
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam bencana itu. Kesemua 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas selamat, menurut kementerian berkenaan.
Angka korban di Turkiye meningkat kepada 2,921 setakat pagi Selasa dengan 15,834 dilaporkan cedera, menurut ketua perkhidmatan bencana Turkiye Yunus Sezer dalam sidang akhbar di Ankara.
Gempa bumi kuat dengan pusat gempa di daerah Pazarcik, turut melanda negara jiran Syria dengan 1,451 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 3,531 yang lain cedera.
-- BERNAMA
#gempa bumi #SAR #SMART #terima kasih