Gempa Turkiye: 'Jumpa mayat ibu, anak berpelukan segar dalam ingatan saya'

Amirrul Rabbani
Februari 28, 2023 16:23 MYT
Sepanjang 20 hari menjalankan misi di bumi Turkiye, Shahrul Nizam berkata, dia hampir mengalami luka beku atau frosbite di kedua-dua belah tangannya akibat cuaca yang ekstrem. - Foto Astro AWANI
IPOH: Menjadi antara lebih 100 anggota penyelamat yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Turkiye awal bulan ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan
Shahrul Nizam Murad, 47, yang merupakan Anggota Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping itu berkata, penemuan mayat ibu dan anak yang sedang berpelukan di bawah runtuhan bangunan masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
“Pada hari keempat SAR, pasukan kami menemukan belakang badan mayat seorang kanak-kanak di bawah runtuhan sebuah banguanan," kata Shahrul Nizam.
“Ketika kami ingin mengeluarkan mayat itu, kami mendapati dia sedang dipeluk erat ibunya. Di samping wanita itu juga ada mayat kanak-kanak yang juga anaknya sedang memegang tangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ibu Pejabat JPBM Negeri di sini pada Selasa.
AIR MATA GUGUR KETIKA OPERASI SAR
Bapa kepada lima cahaya mata itu turut berkongsi, penemuan mayat anak-beranak itu menyebabkan beliau tersentuh dan sehingga gagal menahan air matanya daripada mengalir sewaktu operasi SAR dijalankan.
“Memang masa itu ada terkenangkan (anak-anak di Malaysia), namun perasaan itu terpaksa dilupakan sementara kerana hendak memberi penumpuan terhadap SAR. Kalau tidak, memang tidak sanggup nak teruskan misi itu,” tambahnya.
Pengalaman berkhidmat selama 27 tahun dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) banyak mengajarnya untuk kekal fokus dan tabah ketika operasi SAR itu.
SEMUA YANG ANDA PERLU TAHU BERHUBUNG GEMPA TURKIYE-SYRIA DI SINI
Menurut Shahrul Nizam, dia hanya mampu memanjatkan doa kepada Allah S.W.T untuk memberinya kekuatan dan kecekalan untuk menyelamatkan ribuan rakyat Turkiye yang terjejas akibat gempa buruk berkenaan.
Katanya cuaca dingin yang melampau terutama pada waktu malam dan keadaan muka bumi yang berbukit turut menjadi cabaran buatnya.
Sepanjang 20 hari menjalankan misi di bumi Turkiye, dia memberitahu hampir mengalami luka beku atau ‘frosbite’ di kedua-dua belah tangannya akibat cuaca yang ekstrem, tambahnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga anggota Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) turut berkata, itu adalah misi pertamanya ke luar negara yang melibatkan SAR gempa bumi.
Menurutnya, kali pertama diberi peluang menyertai misi SAR ke luar negara adalah ketika "Operasi Jerebu" di Indonesia pada tahun 1997.
“Sekiranya saya ditugaskan untuk misi-misi menyelamat seumpama itu lagi, saya bersedia sekiranya diperlukan demi jabatan dan kemanusian.
“Selain itu juga saya bersyukur apabila ahli keluarga amat memahami bidang tugas saya sebagai anggota penyelamat,” katanya lagi.
Tragedi gempa bumi yang mengegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari lalu telah meragut puluhan ribuan nyawa termasuk kanak-kanak.
Selain Turkiye, negara jiran Syria dan Lubnan turut teruk terjejas.
Malaysia telah menghantar 142 anggota penyelamat serta dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye.
Ia turut melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), manakala K9 adalah milik JBPM.
#gempa turkiye #Shahrul Nizam Murad #Anggota Khas Bahan Kimia Berbahaya HAZMAT #Balai Bomba dan Penyelamat Taiping
;