Gempa Sabah: JBPM Sabah gerak operasi menyelamat pendaki di Gunung Kinabalu
Astro Awani
Jun 5, 2015 13:55 MYT
Jun 5, 2015 13:55 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat pendaki-pendaki di Gunung Kinabalu yang terperangkap susulan gempa berukuran 6.0 pada pagi Jumaat.
Laporan yang diterima JBPM, berlakunya runtuhan batu yang menyebabkan halangan kepada pendaki untuk turun ke kawasan yang lebih selamat.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Sabah, Zuraidah Latip berkata ketika ini terdapat lebih 195 pendaki dan 43 jurupandu di Gunung Kinabalu.
Gempa Sabah: Penduduk Ranau dinasihatkan berwaspada terhadap gegaran susulan
Namun begitu kata Zuraidah, keadaan mereka yang berada di atas gunung masih belum dapat dipastikan lagi.
Dalam pada itu, salah seorang pendaki Gunung Kinabalu, Charlene Chen memberitahu dia bersama pasukannya masih terperangkap di Gunung Kinabalu.
Bedasarkan status terbaru yang dimuat naik ke laman Facebooknya, Charlene memberitahu, mereka sedang menunggu helikopter utuk membawa mereka keluar.
Katanya, keadaan buat masa ini selamat.
Gempa bumi Ranau
Mereka tidak dapat bergerak turun kerana, masih merasai gegaran dan banyak batu yang jatuh sekaligus membahayakan situasi mereka.
Bagaimanapun, Charlene gagal dihubungi Astro AWANI.