Gempa Ranau: Kerajaan tetapkan SOP baharu gempa bumi

Ruzaini Zulkepli
Mac 9, 2018 21:24 MYT
SOP baharu ini dikhususkan untuk kawasan gunung yang berisiko gempa seperti di Gunung Kinabalu (gambar).
Kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk kejadian gempa bumi bagi semua kawasan pergunungan yang berisiko.
Menurut SOP terbaharu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini akan memberi maklumat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila gegaran mencatatkan ukuran sekurang-kurangnya 5.0 pada skala Richter.
Sebelum ini, pihak kementerian hanya akan memaklumkan pada NADMA apabila gempa mencatatkan magnitud 5.5 ke atas bagi mengeluarkan amaran berstatus bahaya.
Menteri Datuk Seri Madius Tangau berkata, prosedur baharu ini telah dikuatkuasakan semalam susulan insiden gempa bumi di Ranau pada jam 9.06 malam semalam yang mencatatkan magnitud 5.2 pada skala Richter.
"SOP baharu ini dikhususkan untuk kawasan gunung yang berisiko gempa seperti di Gunung Kinabalu.
"Sebelum ini, pihak kami hanya akan memberi maklumat kepada NADMA apabila gegaran mencatatkan ukuran sekurang-kurangnya 5.5 pada skala Richter.
"Dalam insiden semalam, kekuatan gempa cuma bermagnitud 5.2 dengan pusat gempa sedalam 5km.
"Keadaan menjadi kecoh sedikit sebab ia melibatkan pendaki-pendaki di Gunung Kinabalu," katanya dalam sidang media di Pejabat Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud.
Tambah Madius, dengan adanya SOP baharu ini, segala kekuatan NADMA akan dikerahkan apabila bacaan gempa cecah 5.0 pada skala Richter.
"Ini menunjukkan pihak kami komited dan memandang serius isu gempa bumi. Saya juga akan memaklumkan hal ini dalam Kabinet," katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai untuk memuat turun aplikasi "myCuaca" untuk mengetahui tentang ramalan dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
Selain gempa bumi, aplikasi ini juga memberi perkembangan semasa bencana banjir, ribut serta cuaca harian.
#gempa bumi #gempa bumi ranau #Gunung Kinabalu #kerajaan #Kota Kinabalu #Madius Tangau #MetMalaysia #NADMA #SOP
;