Gempa Ranau: Helikopter gagal tembus awan tebal, operasi SAR terhenti

Ridzal Abdullah
Jun 8, 2015 19:09 MYT
FARHAN: Keadaan awan yang tebal di Gunung Kinabalu menyukarkan helikopter membuat pendaratan di Laban Rata.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farhan Lee Abdullah dalam sidang media terbaharu memaklumkan bahawa operasi hari keempat mencari dan menyelamat, SAR, mangsa gempa bumi Sabah pada hari ini tidak berjaya kerana faktor cuaca.
Menurutnya, operasi yang tamat pada 5.30 petang melibatkan kumpulan berjalan kaki dan juga udara menggunakan helikopter tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Layang-Layang Aerospace namun berikutan awan yang sangat tebal di Gunung Kinabalu helikopter tidak dapat membuat pendaratan di Laban Rata.
"Satu percubaan menyelamat telah dibuat bermula pada jam 6 pagi tadi melalui jalan udara dan darat., namun kami tidak berjaya menjumpai apa-apa.
"Tiga buah helikopter yang digunakan tidak dapat menembusi kawasan yang dilitupi awan tebal. Tambahan pula, keadaan tiupan angin yang kuat turut menjejaskan misi," jelasnya.
Sementara itu, jelas Farhan, pasukan menyelamat yang melalui jalan darat pula tidak dapat menghampiri kawasan yang disasarkan kerana gegaran susulan masih dirasai itu membuatkan batu-batuan terus jatuh di lereng gunung.
"Kumpulan penyelamat ini tidak dapat mendekati kawasan yang hendak dituju. Sebagaimana yang kita tahu, mereka mahu mendekati Kilometer 7.5 namun mereka hanya berjaya sampai ke Kilometer 6.8," katanya.
Farhan juga memberitahu jumlah mangsa masih kekal seramai 16 orang dengan 11 daripadanya telah dituntut oleh ahli keluarga. Sejumlah lima lagi masih belum dituntut dan dua mangsa masih belum ditemui.
BACA: Usaha cari dua mangsa belum ditemui di Gunung Kinabalu diteruskan
Dalam hal berkaitan, daripada cebisan jasad yang ditemui, pihak berkenaan sedang menyegerakan kerja-kerja pemprosesan DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
"Kami akan memulakan lagi operasi ini pada esok pagi dan kita berharap agar cuaca menyebelahi misi ini," katanya.
Dalam pada itu, pihak Taman-Taman Sabah memaklumkan tinjauan mereka pada hari ini melalui udara mendapati Gunung Kinabalu rosak teruk di bahagian selatan.
BACA: Mayat tiga lagi mangsa gempa bumi Ranau dituntut keluarga
BACA: Gempa Ranau: 54 gegaran susulan direkod sehingga semalam
BACA: Kabus halang usaha mencari mangsa di Gunung Kinabalu
#gempa #polis #Ranau #Sabah #SAR
;