Gempa Ranau: "Dinding macam telur hampir pecah"
Ruzaini Zulkepli
Mac 8, 2018 05:01 MYT
Mac 8, 2018 05:01 MYT
Bayangkan anda sedang berehat-rehat dan tiba-tiba kedengaran bunyi dinding umpama telur yang hampir pecah.
Itu gambaran diberi penduduk di Sabah, ketika berkongsi kebimbangan mengenai gempa bumi dengan 5.2 magnitud yang melanda Ranau, pada jam 9.06, Khamis malam.
Salah seorang pekerja hotel, Minra Hassan memaklumkan, ketika kejadian tersebut dia sedang bertugas, dan dia melihat air seperti bergoyang.
Dia juga mendengar bunyi dinding seakan-akan retak, dan bunyinya menurut Minra, seperti telur hampir pecah.
"Memang ada rasalah juga dalam tiga hingga empat saat begitulah, air bergoyang, kemudian bilik bergegar.
"Dinding pula ada bunyi retak, macam telur hampir pecah.... selepas kejadian itu, tetamu hotel kebanyakannya melarikan diri ke luar dan berkumpul di tempat lapang," kata Minra kepada Astro AWANI.
Sementara itu, salah seorang pelancong, Tony Anak Mulian, memaklumkan dia dan rakan-rakannya melarikan diri sebaik sahaja bangunan pusat membeli-belah yang dikunjunginya bergegar.
Menurut Tony, semua pengunjung bertindak sama, kerana bimbang ada perkara tidak diingini berlaku.
"Masa kejadian tadi kami sedang bersiar-siar di pusat membeli belah, dan tiba-tiba kami rasa gegaran,
"Kami tidak tunggu lama, semua pun berlari keluar ikut yang lain," jelas Tony.
Gempa berkenaan dilaporkan berpusat sedalam 5 kilometer.
Pihak berkuasa memaklumkan, satu gempa susulan bermagnitud 2.3 pada skala Richter turut direkodkan sekitar 9.27 malam.