Gempa Nepal: Pasukan kami mahu bantu mangsa - Ravichandran

Astro Awani
April 26, 2015 08:19 MYT
RAVICHANDRAN: Pasukan kami mahu bantu mangsa gempa. -Gambar fail
Situasi kritikal akibat gempa bumi Nepal menjadi aspirasi untuk pendaki negara T. Ravichandran dan kumpulannya memberi bantuan menyelamat di kawasan berkenaan.
Katanya, buat masa ini, beberapa penaja sudah bersetuju untuk menghulurkan bantuan selain menyelesaikan isu kebenaran oleh kerajan dan agensi berkenaan.
"Kita sudah mendapatkan penaja yang pernah menghulurkan bantuan semasa insiden di Pakistan pada 2005.
"Sekarang misi akan diteruskan dan kami sedang mengumpul beberapa doktor dan wakil media untuk mengikuti misi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada malam Sabtu, jurucakap polis kebangsaan Nepal, Kamal Singh Bam melaporkan kepada agensi berita AFP, angka korban akibat kejadian gempa bumi di Nepal dijangka terus meningkat dengan angka terbaru sehingga pukul 9 malam (waktu Malaysia) dilaporkan melepasi 876 nyawa.
Sementara itu kata Ravichandran, seandainya tiada halangan, pasukan mereka dijadual akan ke Nepal pada Selasa atau Rabu depan.
"Kami faham situasi di sana, ia agak bahaya namun kami dan pasukan sudah pernah mengalaminya dan pernah membantu kes seumpama ini sebelum ini di Pakistan," katanya.
Ravichandran merupakan pendaki solo pertama dari rantau Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dari bahagian bertentangan dengan Tibet pada 15 Mei 2006.
#Doktor #gempa bumi #menyelamat #Nepal #penaja #Ravichandran
;