Gempa Nepal: Misi perubatan fokus di kawasan pergunungan - Ravi
Mariah Ahmad
April 27, 2015 11:37 MYT
April 27, 2015 11:37 MYT
Kelab Ekspedisi Global (GEC) di bawah misi perubatan ke Nepal akan memberi lebih fokus ke arah membantu mangsa gempa bumi di kawasan pergunungan di sana.
Presiden GEC, T. Ravichandran berkata memandangkan ketika ini adalah musim yang sesuai untuk pendakian, kebanyakan penduduk di bandar akan mengambil peluang menjana pendapatan di kawasan pergunungan itu.
“Bulan November hingga Februari adalah musim sejuk, jadi musim yang terbaik untuk mendaki gunung ini adalah apabila masuk sahaja bulan Mac sehingga Jun.
“Jadi bagi penduduk tempatan, mereka akan ke kawasan pendakian yang menjadi tarikan pelancong seperti membuka kedai untuk menjana pendapatan.
“Mereka hanya menetap di rumah-rumah atau pondok yang diperbuat daripada tanah liat. Jadi bayangkan apabila runtuhan salji berlaku dan menimpa penempatan mereka,” ujar Ravichandran yang lebih dikenali sebagai Ravi.
Selain itu, pendaki solo Gunung Everest Malaysia ini berkata pengalamannya menghulurkan bantuan semasa insiden di Pakistan memberi pengajaran kepada mereka untuk mengatur ekspedisi misi bantuan ke Nepal.
“Gempa bumi yang berlaku di Kashmir, Pakistan pada 2005 adalah satu insiden yang lebih kurang sama di Nepal ini.
"Rata-rata penduduk yang menjadi mangsa ini tidak mempunyai akses untuk mendapatkan rawatan kerana pusat perubatan jauh di bandar. Mereka hanya merawat sendiri dengan ubatan-ubatan tradisional yang ada.
“Jadi ekspedisi ini kami akan membawa beberapa doktor untuk membantu mereka dengan memberi rawatan yang sepatutnya bagi mengelak kecederaan yang dialami mereka tidak berlarutan,” ujar Ravi.
Ketika ini, antara cabaran yang perlu dihadapi Ravi dan pasukannya adalah apabila doktor sukar untuk mendapatkan cuti bagi membantu mangsa di Nepal memandangkan perkara ini berlaku secara tiba-tiba.
“Pengangkutan juga menjadi cabaran kami ketika ini kerana semua penerbangan komersial telah diberhentikan ke sini; hanya penerbangan ketenteraan sahaja dibenarkan.
"Justeru, kami kini sedang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk misi perubatan ini,” jelas Ravi ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
Sementara itu, kata Ravichandran, seandainya tiada halangan, pasukan pertama mereka dijadual akan ke Nepal pada 1 Mei dan pulang pada 11 Mei.
Pasukan kedua pula akan berlepas pada 21 Mei dan pulang ke tanah air pada 1 Jun.
Ravichandran merupakan pendaki solo pertama dari rantau Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dari bahagian bertentangan dengan Tibet pada 15 Mei 2006.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ekspedisi misi perubatan GEC di Nepal, anda boleh melayari laman web ravieverest.com.