Gempa Lombok: Kementerian Luar sahkan kematian seorang rakyat Malaysia
Rahimah Abdullah
Julai 29, 2018 14:41 MYT
Julai 29, 2018 14:41 MYT
Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan kematian seorang rakyat Malaysia yang merupakan antara sepuluh terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia pagi tadi.
Enam rakyat Malaysia turut cedera dalam gempa berkekuatan pada 6.4 skala richter itu.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan setakat ini, kira-kira 40 orang dilaporkan mengalami kecederaan.
"Kesemua mangsa berada di kaki Gunung Rinjani ketika kejadian berlaku. Pihak berkuasa tempatan telah menghubungi kedutaan dan proses memberikan bantuan kepada mangsa sedang giat dijalankan. Pihak kedutaan juga telah menghubungi waris mangsa berhubung kejadian ini," kata kenyataan itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah berhubung dengan pelajar Malaysia di Bali bagi memastikan keselamatan mereka.
Justeru, rakyat Malaysia diminta bertenang dan mengikuti perkembangan terkini.
Rakyat Malaysia yang berada di Lombok diminta menghubungi Kedutaan melalui email mwjakarta@kln.gov.my/konsular@gmail.com atau di talian +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).
#Bali
#cedera
#gempa bumi
#Indonesia
#Jakarta
#Kementerian Luar
#keselamatan
#Malaysia
#mangsa
#pelajar
#rakyat
#rakyat Malaysia
#WhatsApp