Gempa Lombok: Keluarga Siti Nur Ismawida masih menunggu kesahihan berita

Bernama
Julai 29, 2018 20:42 MYT
Menurut bapa Siti Nur Ismawida (gambar), Ismail Abdul Raffar, dia hanya tahu tentang kematian anaknya ketika menonton berita tengah hari tadi. - Facebook/Siti Nur Ies'mawida Ismail
Keluarga rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang dilaporkan maut dalam kejadian gempa bumi di Pulau Lombok hari ini, masih belum menerima sebarang pengesahan berhubung kejadian itu.
Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata hingga 6 petang Ahad, tiada mana-mana pihak sama ada Kedutaan Malaysia di Jakarta ataupun Kementerian Luar yang menghubungi mereka bagi memaklumkan perkara itu.
Katanya, sehubungan itu, pihaknya berharap agar kerajaan dapat membawa beliau atau suami Siti Nur Ismawida ke Lombok bagi membuat pengecaman mayat sekiranya mangsa yang terkorban itu anaknya.
"Saya hanya tahu perkara itu ketika menonton berita tengah hari tadi. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami (keluarga) untuk memudahkan proses pengecaman.
"Dan jika benar mangsa yang terkorban itu anak saya, saya harap pihak berkenaan dapat membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah ke Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama di kediaman seorang daripada anaknya di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, hari ini.
Ismail turut mendakwa keluarganya telah menerima beberapa panggilan telefon yang dipercayai ejen yang ingin menguruskan proses membawa pulang jenazah ke ibu negara.
"Ada antara mereka meminta hingga lebih 80 juta Rupiah (RM22,500) bagi urusan membawa pulang jenazah. Pihak keluarga tidak tahu sama ada ejen berkenaan sah atau sebaliknya. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini," katanya.
BACA: Gempa Lombok: Kedutaan bantu bawa pulang jenazah Siti Nur Ismawida
BACA: Gempa bumi Lombok: NADMA sedia salur bantuan - TPM
Beliau berkata anak keduanya daripada tiga beradik itu amat meminati aktiviti lasak dan telah mendaki hampir kesemua lokasi pendakian di negara ini.
Siti Nur Ismawida, seorang pensyarah kolej swasta di Ampang, adalah antara 18 peserta kumpulan pendaki rakyat Malaysia yang tiba di Lombok pada Selasa lepas untuk mendaki Gunung Rinjani dan dijadual pulang ke tanah air, hari ini.
Kali terakhir mangsa menghubungi keluarga pada malam tadi menerusi aplikasi WhatsApp.
Mangsa dilaporkan parah setelah dihempap runtuhan bangunan rumah yang didudukinya.
BACA: Allahyarhamah Siti Nur Ismawida seorang pejuang belia - MBM
Gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter itu menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan berlari bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa itu terjadi berpusat 28km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara. -- Bernama
#gempa bumi Lombok #Siti Nur Ismawida
;