Gempa Lombok: Kedutaan bantu bawa pulang jenazah Siti Nur Ismawida

Bernama
Julai 29, 2018 19:53 MYT
Pegawai kedutaan Malaysia akan tiba di Lombok esok bagi menyelaras proses itu termasuk membantu rakyat Malaysia lain yang terkandas untuk kembali ke tanah air. - Facebook/Kedutaan Besar Malaysia Jakarta
Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang memproses untuk membawa pulang jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB) Indonesia.
Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan berkata jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang kini ditempatkan di Hospital Selong, Timur Lombok akan dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Provinsi NTB di Bandar Mataram, sebelum dibawa pulang.
"Proses penghantaran sedang diuruskan ejen yang dilantik manakala kos penghantaran ditanggung syarikat insurans," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pegawai kedutaan Malaysia akan tiba di Lombok esok bagi menyelaras proses itu termasuk membantu rakyat Malaysia lain yang terkandas untuk kembali ke tanah air.
BACA: Allahyarhamah Siti Nur Ismawida seorang pejuang belia - MBM
BACA: Allahyarham Siti Nur dihempap tembok runtuh - Rakan
"Kumpulan (pertama) seramai 19 individu di Senaru, Lombok Utara kini dibawa menuju ke Senggigi di Barat Lombok. Kesemua mereka dilaporkan selamat.
"(Manakala) Kumpulan kedua (sekumpulan dengan mangsa yang terkorban) seramai 17 pendaki itu masih di Sembalun, Timur Lombok. Enam daripadanya (dua cedera parah dan empat cedera ringan) sedang dirawat di Hospital Selong, Timur Lombok," katanya.
BACA: NADMA sedia salur bantuan - Wan Azizah
Setakat 4 petang ini, dua kumpulan pelancong rakyat Malaysia (kumpulan yang mendaki Gunung berapi Rinjani di Lombok Timur) telah diberi bantuan sewajarnya oleh pihak berkuasa Indonesia.
Beliau berkata kedutaan juga dimaklumkan bahawa masih ada warga Malaysia yang berada di Lombok tetapi belum dapat dihubungi hingga kini.
"Rakyat Malaysia yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak kedutaan menerusi emel mwjakarta@kln.gov.my/ jkonsular@gmail.com atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (WhatsApp)," katanya. -- Bernama
#gempa bumi #gempa lombok #Kedutaan Malaysia di Indonesia #lombok indonesia #Siti Nur Ismawida
;