Gempa Lombok: 400,000 tidur di pusat pemindahan akibat trauma

Bernama
Ogos 12, 2018 05:10 MYT
Hampir 400,000 penduduk kini berada di lebih 1,000 pusat pemindahan. -Gambar fail
Seminggu selepas gempa bermagnitud 7 Skala Richter menggegarkan Pulau Lombok, penduduk pulau itu masih trauma dan dilaporkan takut untuk tidur di kediaman atau rumah mereka kerana gempa susulan masih berterusan.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, hampir 400,000 penduduk kini berada di lebih 1,000 pusat pemindahan sementara yang beroperasi di kawasan lapang atau padang di seluruh pulau itu.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyrakat BNPB, Sutopo Purwo Nugrohoberkata Ahad lepas (5 Ogos), selepas kejadian gempa kuat itu, sebanyak 576 gempa susulan dicatatkan berlaku sehingga semalam.
"Sebanyak 387,067 orang masih berada di pusat pemindahan. Angka penduduk yang berada di pusat pemindahan berubah-ubah kerana banyak penduduk yang pada siang hari pulang ke rumah tetapi pada malam hari kembali ke pusat pemindahan," katanya.
Beliau berkata jumlah korban akibat gempa bumi itu kini meningkat kepada 392 orang, dan dijangka terus bertambah ketika operasi mengesan mangsa terkorban di runtuhan rumah dan bangunan masih dijalankan di seluruh pulau itu.
"Setakat hari ini, sebanyak 67,875 unit rumah dilaporkan musnah manakala 606 sekolah, tiga hospital dan 10 pusat kesihatan serta 15 masjid, dilaporkan rosak," katanya.
-- BERNAMA
#gempa bumi #Hospital #Indonesia #Lombok #pusat pemindahan
;