Gempa bumi Turkiye: Unit K9 mampu bantu misi SAR lebih berkesan - Armizan
Hilmi Malik
Februari 8, 2023 22:49 MYT
Februari 8, 2023 22:49 MYT
SEPANG: Penggunaan Unit Anjing Pengesan (K9) membolehkan operasi menyelamat mangsa gempa bumi oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Turkiye menjadi lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, unit berkenaan berlepas ke Turkiye malam ini.
"Turut berlepas malam ini Unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan yang dibawa bersama untuk memastikan kita dapat melaksana operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan lebih berkesan lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebelum pelepasan misi bantuan kumpulan kedua Pasukan SMART ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu .
Mengulas lanjut, Armizan memaklumkan kumpulan itu terdiri 70 anggota SMART termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pasukan penyelamat yang sudah berada di Turkiye turut berdepan beberapa cabaran besar termasuk cuaca.
"Keadaan cuaca adalah di bawah paras beku iaitu sekitar -1 hingga -3 darjah Celsius.
"Faktor keselamatan memang sentiasa perlu siap sedia kerana keadaan gempa masih aktif dan ada gempa susulan jadi langkah berhati-hati perlu diambil.
"Bagaimanapun 70 anggota SMART yang sudah mula tugasan dalam keadaan yang baik dan mempunyai semangat yang cukup tinggi," katanya lagi.
"Buat masa ini, penugasan misi menyelamat ini ditetapkan selama 14 hari, bagaimanapun ia bergantung kepada situasi semasa di lokasi kejadian," katanya.
Setakat ini, lebih 8,000 mangsa gempa bumi di Turkiye dilaporkan terkorban selain ramai lagi yang dilapor masih terperangkap di bawah runtuhan.