Baginda turut menzahirkan ucapa takziah dan rasa simpati kepada Perdana Menteri Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, rakyat Turkiye dan Syria berikutan malapetaka yang melanda negara berkenaan.
"Sesungguhnya, Malaysia merasa amat dukacita di atas musibah tersebut, justeru Beta meminta ahli-ahli Yang Berhormat untuk berdiri bertafakur bersama Beta, dan kepada yang beragama Islam, marilah kita sedekahkan al-Fatihah," titahnya di sini, pada Isnin.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menyambut keberangkatan tiba baginda, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja
Setakat ini, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam gempa bumi berkenaan.
Gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada minggu lalu itu mengorbankan lebih 32,000 mangsa.