Gempa bumi Turkiye: PM arah sedia tambah pasukan SAR - Armizan
Fareez Azman
Februari 7, 2023 17:27 MYT
Februari 7, 2023 17:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat penilaian sekiranya terdapat keperluan penambahan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk dihantar ke Turkiye dalam masa terdekat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, arahan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan permohonan daripada kerajaan Turkiye pada Isnin.
"Kita menghantar 70 orang (pasukan SMART) ini dulu dan akan buat penilaian di lokasi nanti. Sebenarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan kita sedia membuat penambahan sekiranya diperlukan oleh kerajaan Turkiye," katanya.
Tambah Armizan, beberapa aset pasukan SAR juga akan diterbangkan ke negara itu pada malam Selasa bagi membantu operasi.
"Kita akan menanti maklum balas daripada Komander SMART, sekiranya diperlukan kita akan bersedia menambah.
"Malam ini akan ada penerbangan melibatkan aset-aset tertentu yang diperlukan bagi membantu melicinkan lagi kerja operasi pihak SMART.
"Jadi malam ini (Selasa) akan ada penghantaran barangan dengan bantuan Turkish Airline juga," katanya lagi.