Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART dijangka masuk ke kawasan bencana hari ini

Hafizi Rosli
Februari 8, 2023 02:35 MYT
Menurut NADMA, pasukan SMART dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 5.50 pagi Rabu waktu tempatan. - Foto ihsan NADMA
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dijangka masuk ke kawasan bencana gempa bumi atau 'ground zero' di Turkiye hari ini.
Menurut kenyataan NADMA, berlaku kelewatan berikutan masalah kesesakan di Lapangan Terbang Adana yang merupakan pintu masuk ke kawasan bencana.
Dilaporkan, pergerakan menggunakan jalan darat dari Adana ke Aziantep akan mengambil masa sekitar tiga jam.
Terdahulu, NADMA memaklumkan, pasukan SMART selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 5.50 pagi Rabu waktu tempatan.
Malaysia menghantar 70 anggota SMART bagi membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa di selatan Turkiye yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 5,000 nyawa, termasuk di Syria.
#NADMA #Syria #Turkiye #Gempa Bumi Turki