Gempa bumi Turkiye: Malaysia rancang wujudkan hospital lapangan - PM Anwar

Madiha Abdullah
Februari 8, 2023 07:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan ke Syria akan disalurkan melalui Pertubuhan Palang Merah. - Fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Selain misi bantuan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Malaysia merancang untuk mewujudkan hospital lapangan atau field hospital di Turkiye, susulan gempa bumi yang melanda negara itu dua hari lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, ia bagaimanapun tertakluk kepada keperluan dan situasi di sana.
Bantuan berbentuk dana juga akan disalurkan termasuk sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Kementerian Pertahanan ada menyiapkan pasukan doktor dan medik serta Angkatan Tentera (ATM) yang boleh bergerak selari dengan kegiatan SMART di Turkiye, membentuk field hospital yang boleh digerakkan dalam tempoh 48 jam tetapi ini masih menunggu pengesahan, apakah ada keperluan (untuk diwujudkan).
"Di Syria situasi lebih rumit kerana masalah penerbangan dan kos tinggi tetapi kita telah bersetuju menyalur dana AS$1 juta bersama sumbangan Sultan Johor yang berkenan menyalurkan AS$1 juta melalui sumbangan yang diselaras kerajaan.
"Saya difahamkan Majlis-Majlis Agama juga akan tambah, sekurang-kurangnya untuk permulaan RM10 juta," katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
[TERKINI] Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet
Bantuan ke Syria, tambah Anwar, akan disalurkan melalui Pertubuhan Palang Merah.
Dalam pada itu, kumpulan kedua SMART akan digerakkan ke Turkiye malam ini, susulan keberkesanan peranan pasukan pertama yang dihantar ke Turkiye pada malam Isnin lalu.
Ia akan membabitkan seramai 70 anggota, iaitu masing-masing 20 daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
#Turkiye #Anwar Ibrahim #Gempa Bumi Turki #Sultan Johor