KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu diambil selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

Jelas beliau, seramai 75 anggota akan digerakkan ke Turkiye pada malam ini menerusi penerbangan Turkish Airlines. 

"Penerbangan akan akan membawa bersama peralatan-peralatan yang digunakan di dalam operasi SAR," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Gempa Bumi | Tiada rakyat Malaysia terlibat ketika ini - Wisma Putra

Jelas Armizan,  pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara

Setakat petang ini, angka korban gempa bumi yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria meningkat kepada lebih 640 orang.