Gempa bumi Turkiye: Denti dan Frankie tangkas beraksi dalam operasi SAR
Bernama
Februari 14, 2023 12:16 MYT
Februari 14, 2023 12:16 MYT
GAZIANTEP (Turkiye): Dua "hero Batang Kali" yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara ke Turkiye sentiasa bersedia mencurahkan tenaga mereka dan tidak gugup beraksi walaupun berada di negara 'orang'.
Aksi lincah anjing pengesan milik unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie ketika mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit, memperlihatkan ketangkasan haiwan itu.
Keadaan cuaca yang amat sejuk serta berdebu tebal seakan tidak memberi apa-apa kesan kepada anjing jenis Labrador dan English Springer Spaniel yang menghidu di setiap rekahan dan lubang-lubang pada runtuhan untuk mengesan jika terdapat mangsa terperangkap.
Sambil mengibaskan ekor, kedua-dua anjing berkenaan terus fokus mendengar arahan pengendali masing-masing untuk ke kawasan mana yang perlu dihidu dan rekahan mana yang perlu dimasuki.
Pengendali haiwan tersebut, pegawai bomba Tony Albert Mani dan Y. Thibagaran bagaimanapun melahirkan sedikit kebimbangan kerana terdapat banyak benda tajam dan besi konkrit yang boleh mencederakan kaki dua 'hero' itu.
Thibagaran yang mengendalikan Frankie berkata kedua-dua anjing berkenaan tidak menunjukkan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Nurdagi yang mencecah sehingga -10 Darjah Celsius, ketika waktu malam.
Katanya anjing berkenaan merupakan baka yang berasal dari negara yang beriklim sejuk.
"Setakat ini, kedua-dua ekor anjing ini tidak mempunyai masalah dari segi kesihatan dan pemakanan, malah kedua-duanya dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk turun ke lokasi pada bila-bila masa jika diperlukan," katanya kepada Bernama.
Sejak awal operasi, Denti dan Frankie ditugaskan bersama pasukan MAS-01 SMART dan MAS-10 dalam operasi SAR di beberapa lokasi runtuhan bangunan kediaman dan hotel di sekitar bandar ini.
Dalam pada itu, Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani berkata selain dua ekor anjing pengesan berkenaan, JBPM turut membawa peralatan khas untuk digunakan dalam misi SAR di Nurdagi antaranya, alat pengesan, alat pemotong besi keluli, penyendal, penampung beban sementara dan alat pemecah konkrit.
"Seramai 30 anggota JBPM dari seluruh negara terlibat dalam misi kali ini, melibatkan anggota STORM dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang mempunyai kepakaran dalam melakukan kerja SAR dan EMRS," katanya.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria, Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.
Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.
-- BERNAMA