Gempa bumi Turkiye: Agong seru beri bantuan kepada mangsa
Astro Awani
Februari 8, 2023 13:31 MYT
Februari 8, 2023 13:31 MYT
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia supaya menyalurkan bantuan kemanusian kepada kerajaan Turkiye dan Syria berikutan tragedi gempa bumi kuat melanda kedua-dua negara berkenaan.
"Kita harus bersyukur di sini (Malaysia) kita hanya hadapi banjir. Kita harus bersabarlah, bersyukur… kita memang sedih kejadian di Turkiye dan Syria, kalau perlu beri bantuan, kita semua harus hulur bantuan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, Ubadiah Al-Jariah, Taman Guru Kuantan, di sini, pada Rabu.
Menurut laporan Reuters, sebanyak 5,894 kematian direkodkan di Turkiye, manakala di Syria lebih 1,900 kematian dilaporkan setakat ini.
Mengulas lanjut mengenai banjir di Pahang, Al-Sultan Abdullah berharap agar semua penduduk terjejas banjir dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.
Baginda juga bertitah keadaan cuaca baik sejak Selasa diharap berterusan dan keadaan banjir dapat pulih sepenuhnya.
#Gempa bumi Turkiye
#Yang di-Pertuan Agong
#bantuan mangsa gempa bumi
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin