Gempa bumi Turkiye: 13 rakyat Malaysia selamat, masih terperangkap di kawasan bencana - Duta
Fareez Azman
Februari 7, 2023 18:30 MYT
Februari 7, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan bencana gempa bumi di Turkiye berada dalam keadaan selamat, namun belum dapat dibawa keluar buat masa ini.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan kumpulan itu bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.
"Pada masa ini terdapat 13 orang Malaysia berada di tempat bencana tersebut. Mereka semua telah dihubungi pihak kedutaan dan kami mendapati mereka semua berada dalam keadaan selamat dan sihat.
"Namun demikian mereka masih berada dalam kawasan bencana berkenaan memandangkan kawasan tersebut tidak mudah untuk orang awam masuk kerana usaha giat dijalankan pasukan mencari dan menyelamat (SAR)," jelasnya dalam satu klip video dikongsikan kepada Astro AWANI pada Selasa.
Tambah Sazali, keadaan di lokasi gempa masih meruncing dan beliau memohon agar rakyat di negara ini terus mendoakan keselamatan kesemua rakyat Malaysia di negara itu.
"Kami di pihak Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye akan teruskan usaha membantu rakyat Malaysia dan juga menghubungi mereka bagi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka.
"Pada masa sama saya ingin memohon seluruh rakyat Malasia mendoakan supaya pasukan SMART dan rakyat Malaysia berada di Turkiye sentiasa dilindungi dan dalam keadaan selamat," katanya.
Terdahulu, 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye kira-kira jam 6 pagi Selasa (waktu tempatan) untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Angka kematian meningkat lebih 5,000 orang susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda Turkiye pada awal pagi Isnin.