Gempa bumi Mindanao: Gegaran dirasai di Kota Kinabalu dan Tawau

Bernama
Julai 11, 2024 13:21 MYT
Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Sabah, antaranya Kota Kinabalu dan Tawau, dipercayai susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda Mindanao, Filipina, pagi tadi. -USGS
KOTA KINABALU: Gegaran dirasai di beberapa kawasan di pantai barat dan pantai timur negeri ini, antaranya Kota Kinabalu dan Tawau dipercayai susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter yang melanda Mindanao, Filipina, pada pukul 10.13 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai gegaran itu pada pukul 10.45 pagi tadi sebelum tiga pasukan digerakkan untuk melakukan pemantauan.
Beliau berkata setakat ini tiada laporan melibatkan kerosakan atau kemalangan jiwa diterima.
"Petugas dan orang awam di Menara Kinabalu, Wisma Wanita dan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah keluar dari bangunan dan berkumpul di tempat berkumpul.
"Pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan dan pengesahan keselamatan setelah petugas dan orang awam keluar dari bangunan," katanya.
Beliau berkata pasukan bomba buat masa ini turut melakukan pemantauan di daerah lain antaranya Ranau, lokasi Gunung Kinabalu, Penampang, Lahad Datu dan Sandakan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
#gempa bumi #Kota Kinabalu #Tawau #Mindanao
;