Gempa bumi: Malaysia sumbang lebih AS$2 juta untuk Turkiye, Syria

Bernama
Februari 8, 2023 15:29 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama dua timbalan beliau, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju menyediakan AS$1 juta manakala Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang AS$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menyumbang RM1 juta yang sebahagian bantuan itu akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.
Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria.
Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lebanon.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke Turkiye malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Pasukan kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan dianggotai 70 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Ini kerana pasukan pertama sangat berkesan, Turkiye memohon tambah anggota," katanya.
#Gempa bumi Turkiye #Malaysia sumbang AS 2 juta #Turkiye dan Syria #PM Anwar Ibrahim
;